https://propbigo.com/hwn/gjt340/tbt/1577089/tlm.xml
loading...

Pelajar Terlalu Aktif Dan Sukar Dikawal Ugut Hantar Balai Polis Pun Tak Jalan Guru Tanya Bapanya Kata Gangguan Tetapi Ada Sebab Lain..

loading...
Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) merupakan gangguan kanak-kanak yang boleh berterusan sehingga dewasa. Gejala ini termasuklah berkelakuan nakal, mudah hilang tumpuan, cuai, terburu-buru, atau hiperaktif (terlebih aktif).

Anak-anak yang mempunyai masalah ini seharusnya diberi lebih perhatian. Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam menyediakan suasana yang selesa dan selamat buat anak. Ikuti perkongsian guru ini:

INI KISAH TENTANG MURID AKU YANG ISTIMEWA.

Aku namakan anak ini sebagai Aris (bukan nama sebenar). Aris ini berumur 7 tahun masa ni. Aris masuk ke sekolah sejak hari pertama sama seperti murid-murid lain.

Gembira dia bukan kepalang dapat merasa suasana persekolahan. Tapi gembira dia lain macam. Dia terlampau aktif. Sejak hari pertama aku dah perasan gelagat dia begitu teruja nak menjawab semua soalan yang ditanya, tiada eye contact bila berbicara, senang hilang tumpuan dan tidak fokus dengan arahan.

Aku bukan doktor. Aku cuma seorang guru. Seorang guru yang mengendalikan murid tahun satu lebih 12 tahun. Sudah beribu-ribu murid aku hadap. Dan jika ada yang berlainan dari normal seorang murid, aku dan kawan-kawan guru lain cepat sahaja perasan.

Telahan kami tepat. Anak ini sangat aktif melampau-lampau. Dalam kelas sukar dikekang. Alangkan masa guru ada pun dia boleh buat angkara. Keluar masuk kelas sesuka hati, ambil barang orang, ambil duit kawan, minum air kawan, kacau kawan dan sebagainya.

Bayangkan apa yang anak ini boleh lakukan sewaktu guru tiada?

Kelas aliran perdana ni tuan-tuan, gurunya beredar. Tempoh pertukaran guru tu ada masa senggang 4-5 minit. Dan masa 5 minit adalah masa yang cukup lama untuk berlaku apa-apa kejadian yang kita tidak ingini.

Aduan demi aduan diterima dari guru dan murid lain. Aris makin sukar dikawal. Dalam kelas guru terpaksa asingkan dia dengan murid lain agar murid lain tidak diganggu. Diletak bersebelahan meja guru.

Badan Aris yang lebih besar dari murid lain membuatkan Aris lagi seronok buli kawan-kawan. Maklumlah orang takut nak melawan. Hampir setiap hari ada sahaja aduan tentang Aris. Hampir setiap hari juga dia kena panggil dengan guru disiplin.

Bahkan kami turut hantar ke unit kaunseling dan maklumkan pada ayahnya.

Awalnya ayahnya tidak menerima. Katanya anaknya normal, cuma sedikit nakal. Puas aku pujuk supaya bawa ke hospital dan dapatkan pengesahan serta tempatkan Aris di kelas pendidikan khas.

Ayahnya menolak.

Katanya Aris mungkin kena gangguan. Mungkin ada unsur mistik. Sampai ke utara ayahnya bawa berubat. Duit habis beribu, dan Aris tetap aktif seperti dulu.

Nasihat tidak jalan, kaunseling pun tidak jalan, ugut nak hantar ke balai polis pun tak jalan, jalan terakhir rotan pun dia tidak hairan.

Masih mengambil duit dari poket kawan tanpa sedikit rasa bersalah, masih mengambil barang kawan, masih minum air kawan tanpa keizinan, masih keluar masuk kelas sesuka hati, dan masih membuli kawan-kawan sekelas bahkan murid yang lebih besar.

Baginya sekolah dan murid lain ada satu taman permainan yang luas. Satu tempat untuk dia bermaharajalela. Boleh berlari ke sini sana. Boleh membuli siapa sahaja. Tiada yang mampu menyekatnya.

Dengan guru disiplin dan guru yang garang sahaja dia patuh sedikit. Tu pun sekejap sahaja.

Sampai satu masa, Aris yang selalu membuli orang datang jumpa aku dengan air mata berlinangan dipipi.

Ya, Aris menangis.

Bajunya penuh dengan tapak kasut. Bajunya comot sekali. Rupanya kawan-kawan sekelas tidak lagi tahan dibuli Aris. Mereka nak lawan sendirian tak mampu sebab fizikal Aris yang besar. Maka mereka berpakat ramai-ramai membalas dendam.

Bukan sahaja murid kelas dia yang membalas dendam, bahkan senior Aris di tahun 2 dan 3 pun turut sama membuli Aris bila tahu adik mereka dibuli. Setiap kali waktu rehat, waktu senggang, waktu pulang, Aris akan menjadi mangsa.

Ya, dulu Aris pemangsa. Kini Aris pula menjadi mangsa.

Puas pula aku selaku guru disiplin panggil semua pembuli Aris dan bagi nasihat serta amaran. Selalu aku ingatkan mereka, Aris itu murid istimewa. Jika dia lakukan apa-apa, jangan balas. Lapor pada aku. Biar aku yang bagi hukuman.

Apa yang dia lakukan, bukan kehendak dan niat dari dalam diri dia. Dia tidak tahu. Dia ada penyakit. Penyakit yang mendorong dia menjadi aktif dan bertindak diluar dari norma seorang murid biasa.

Setelah berkali-kali Aris dibuli, aku telefon ayahnya supaya datang ke sekolah. Sebaik si ayah sampai aku cakap,

“Bang. Abang lihat sendiri apa sudah jadi sekarang. Aris dibuli. Aris dipulau. Murid lain tidak lagi tahan dibuli Aris dan membuat pakatan. Mereka maklumkan pula pada abang dan kakak mereka untuk datang membalas dendam.

Aris tidak salah. Yang salahnya abang. Abang yang menafikan hak Aris untuk belajar ditempat yang sepatutnya. Jangan malu bang anak masuk kelas pendidikan khas. Jangan malu. Di sana tempat yang sesuai dengan dia.

Seorang guru pendidikan khas hanya menjaga 7 murid sahaja. Ada pula pembantu, murid pula tetap di kelas dan diajar mengurus diri dan emosi dengan betul.

Guru-guru dan pembantu di sana memang berpengalaman dan berilmu untuk mendidik murid seperti ini.”

Si ayah termenung panjang. Kali ini akhirnya dia mengalah. Dia ikut saranan aku untuk bawa anak check di hospital. Dan seperti dijangka, anaknya disahkan ADHD dan hyper.

Doktor buat surat akuan dan anaknya dipindahkan ke sekolah yang ada kelas pendidikan khas bulan 9 tahun lepas.

Lepas kejadian tersebut, banyak kali aku jumpa Aris dan ayahnya. Setiap kali nampak aku Aris akan datang berlari bersalaman dengan aku. Aku pasti bertanya,

“Macamana sekolah baru? Seronok tak?”

“Seronok cikgu!”

Alhamdulillah. Aris dah dapat persekitaran yang sesuai dengan dia. Dapat didikan dari guru pakar yang ada ilmu dan pengalaman. Dapat mengurus diri dan emosi lebih baik lagi.

“Cikgu. Terima kasih sabar melayan anak saya selama ini. Terima kasih kerana minta saya bawa Aris jumpa doktor dan pindahkan dia ke kelas pendidikan khas.

Saya sekarang tidak lagi risau dengan dia. Tiada lagi aduan setiap hari Aris buli orang. Dia di rumah pun makin bagus dan lebih mendengar kata.”

Seronok aku mendengar perkembangan itu. Akhirnya hak anak ini diberikan. Akhirnya dia mendapat pendidikan yang sepatutnya dia dapat.

Sehingga hari ini aku masih lagi mengikuti perkembangan Aris. Sebulan atau dua bulan sekali aku ke rumahnya bertanya khabar sambil mengirim barang dapur. InsyaAllah aku akan selalu mengambil berat tentang anak ini.

Jadi aku nak pesan pada kalian, jika anak kalian berbeza sedikit dengan murid lain, ada pula saranan dari pihak sekolah, tolonglah dengar saranan itu.Kami tidak benci anak kalian. Tidak. Bahkan kami sayangkan mereka semua.

Kerana sayang kami mahu anak-anak tersebut dapat hak yang sepatutnya mereka dapat.
loading...
loading...
https://propbigo.com/hwn/gjt340/tbt/1577089/tlm.xml