https://propbigo.com/hwn/gjt340/tbt/1577089/tlm.xml
loading...

Wahai Anak Berbaktilah Kepada Kedua-Dua IbuBapa Dikala Usia Emas Mereka, Kerana Itulah Lubuk Pahala Kita

loading...
 Apabila bercakap tentang tanggungjawab terhadap ibu bapa, saya pernah mendengar satu ceramah berkenaan hal ini daripada video yang telah diterbitkan oleh IluvUAllah. Diceritakan bahawa seorang lelaki pernah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata,

“Aku membersihkan ibuku Wahai Rasulullah (sebagaimana ibuku pernah membersihkanku), adakah ini dianggap ‘bir walidayn’ (berbuat baik kepada ibu bapa)?”

Rasulullah menjawab ‘bukan’. Tindakan itu hanya ‘mukafa’ah’ iaitu melakukan perbuatan yang sama seperti mana dia pernah melakukannya. Ia seperti membalas balik. Dalam erti kata lain, ia masih belum cukup.

Antara intisari pesanan tentang tanggungjawab kepada ibu bapa merangkumi – cara bercakap, berurusan dengan mereka apatah lagi soal penjagaan apabila mereka telah di usia senja. Malah dalam ayat di bawah disebutkan dalam lafaz yang jelas dan satu persatu: ‘Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua’, bukan dalam lafaz yang umum ‘ibu bapa’ sahaja.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’: 23)

Imam al-Baidhawi berkata: “Maksud di sisimu (عِندَكَ) ialah hendaklah kedua-dua ibubapa dalam pemeliharaan kamu.”

Malah terdapat ayat penegasan dan ancaman yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW tentang akibat menderhakai ibu bapa. Hukuman dan balasan buat mereka yang menderhakai ibu bapa telah tersedia di dunia. Hukuman segera!

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)

Usia emas ibu bapa merupakan lubuk pahala bagi kita. Jika kita tidak mampu berada di hadapan mereka untuk menjaga mereka setiap masa – maka berbincanglah secara telus dengan adik beradik yang lain. Tanggungjawab menjaga ibu bapa perlu dijalankan bersama. Buatlah jadual atau sistem giliran supaya setiap anak-anak merasa bertanggungjawab dan punya peluang untuk berkhidmat buat mereka.

Sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.” – Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429) dan al-Hakim (7249).
loading...
loading...
https://propbigo.com/hwn/gjt340/tbt/1577089/tlm.xml